Showing posts with label al-Quran. Show all posts
Showing posts with label al-Quran. Show all posts

Tuesday, April 27, 2010

Mengapa Perlu Berkahwin?

1. Aku tidak mahu berkahwin!, Aku bosan dengan orang lelaki yang berhidung belang! Lelaki sekarang hanya mahu kepuasan nafsu sahaja tapi tidak reti untuk membimbing! Nak jadi imam pun tak tahu.. Solat jauh sekali!!

2. Buat ape aku perlu berkahwin? aku dah ada kerjaya sendiri. Hidup aku lebih aman damai, tak perlu ribut tentang anak-anak. Aku enjoy dengan kehidupan sekarang nih.

3. Saya takutlah nak berkahwin, tak bersedia, nanti banyak sangat komitmen..

4. Mampukah saya menjadi isteri/suami yang baik?.. Berkahwin bukan untuk bercerai..



*************

Mungkin kita pernah mendengar pernyataan di atas yang berbentuk luahan hati dan perasaan dari sahabat kita atau orang yang pernah merasakan kepahitan hidup akibat dari latarbelakang keluarga yang tidak harmoni. Bahkan juga dari mereka yang takut dan risau memberikan komitmen dalam perkahwinan.

Zaman ini, menunjukkan ramainya mereka yang bekerjaya profesional, hidup mewah tidak mahu berkahwin. Terutamanya apabila yang sudah mempunyai pendapatan tetap sendiri, dirasanya hidup tidak perlu kehadiran orang lelaki/perempuan..


Mengapa Perlu Berkahwin ?

Persoalan di atas adalah soal pokok terutamanya mereka yang akan berkahwin, 'bercouple', dan juga kepada mereka yang tidak mahu berkahwin samada takut, risau, serta alasan yang lain. (Kecuali mereka yang mempunyai penyakit yang boleh mendatangkan bahaya atau kecacatan kepada pasangan seperti HIV, AIDS, sopak dan kusta. Serta mereka yang mempunyai sikap yang jahat, tidak mahu/mampu memberi nafkah kepada isteri, mahu mendera dan membalas dendam ke atas isteri/suami).

Perkahwinan sebenarnya adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia yang telah difitrahkan oleh ALlah. Manusia mempunyai keinginan dan kehendak terutamnya di dalam persoalan seksual. Islam telah menetapkan jalan di mana perkahwinan sahajalah yang menjadi penyelesai masalah bagi memenuhi tuntutan tersebut.

Dari Abi Samrah r.a menyatakan :

Nabi melarang daripada hidup membujang.
(Riwayat at Tirmidzi dalam kitab perkahwinan, bab meninggalkan perkahwinan).

Saad bin Abi Waqqas r.a berkata :
"RasuluLLah telah menolak permohonan Osman bin Maz'un untuk hidup membujang. Kalaulah RasuluLlah membenarkannya nescaya kami akan mengembiri.
(Riwayat Muslim dlam Kitab Nikah, bab sunat berkahwinan bagi sesiapa yang berkeinginan, nombor 1402).

Di zaman ini, lihatlah, terdapat antara kita yang mempunyai keinginan tetapi disalurkan di jalan yang dimurkai ALLah. Ada yang menolak perkahwinan tetapi mereka tidak dapat membendung keinginan serta menjauhkan diri dari fitnah terhadap lelaki dan wanita. Ia sendiri tidak dapat menjaga diri dari anasir yang tidak elok. Akhirnya ada yang telah menghampiri kepada zina serta menjerumuskan diri di dalamnya. Anak-anak luar nikah dikandungnya, ada yang dibunuh, dibuang, dan juga dibela.

Ada juga yang mengatakan ingin sahaja membela anak angkat. Sayangnya di dalam Islam, anak angkat tidak pula dibolehkan mewarisi hartanya. Di masa tua pula, ia tetap juga merasa kesepian dan kelainan disebabkan anak yang dibela sejak kecil tetap bukan anak dari darah dagingnya sendiri.


Perkahwinan untuk melahirkan keturunan yang soleh dan berkualiti


Sabda RasuluLLah s.a.w yang bererti :
"Kahwinilah perempuan yang pengasih dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat.
(Riwayat Abu Daud dalam sunannya : KItab nikah, bab larangan daripada menikahi perempuan yang tidak boleh melahirkan anak, nombor 2050; An Nasai dalam kitab nikah, bab makruh mengahwini perempuan mandul, nombor 65/6)

Dengan jalan yang halal ini, maka ia dapat membentuk institusi kekeluargaan sekaligus institusi masyarakat Islam yang dipenuhi dengan generasi yang berkualiti. Jauh bezanya dengan anak yang lahir dari perbuatan zina. Mereka adalah generasi yang terbuang yang tidak mengenali sama sekali siapakah ibu dan ayah mereka. Mereka lahir dalam keadaan jiwa yang membenci dan dendam kepada kedua orang tuanya, masyarakat sekeliling dan manusia keseluruhannya.


Jiwa tenang dengan jalan pernikahan

Perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Firman ALLah ta'ala yang bererti :
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".
(Ar Rum :21)

Berapa ramai manusia yang menolak perkahwinan fikiran dan hatinya tidak berasa tenang, tiada teman untuk dikongsi masalah? Tidak dapat merasakan hubungan halal antara lelaki dan wanita melalui jalan perkahwinan? Fikiran sentiasa runsing dengan masalah-masalah yang tidak terluah yang mengegarkan jiwa dan fikiran, perasaannya tertekan, kemurungan lalu membawa kepada perasaan malu dan pesimis.


Perkahwinan meluaskan persaudaraaan dan membina prinsip kerjasama.


Sebelum perkahwinan - kita akan fikir untuk hidup buat diri sendiri sahaja. Kurang bertanggungjawab dan kematangan dalam pengurusan hidup. Solat bersendirian, berdoa, tawa dan tangis juga berseorangan.

Sebelum berkahwin - tidak banyak ilmu yang ditimba untuk menjadikan diri sebagai individu Muslim yang dapat menjalankan tugas sebagai khalifah yang lebih sempurna. Kita tidak kenal istilah suami dan isteri, ibu dan bapa serta anak. Tidak juga mengetahui apa itu munakahat yang menyentuh tentang bab kekeluargaan seperti talaq, khuluq, hadonah (hak penjagaan anak), aqiqah dan sebagainya. Maka dengan jalan perkahwinan menjadikan diri bersiap sedia dengan ilmu untuk menguruskan sebuah keluarga. Seorang suami sebagai imam solat dan pemimpin, isteri sebagai teman dan pendokong kepada suaminya di kala susah dan senang.

Isteri akan membantu suami di dalam urusan seharian, makan pakainya, tempat tinggal dan anak-anak. Suami pula akan bersama di dalam mencari rezeki yang halal, mempertahankan, melindungi dan memelihara kehormatan isteri.

Dengan jalan halal yang telah digariskan oleh Islam, daerah persaudaraan akan semakin meluas. Saling kenal mengenali antara sesama dua keluarga yang telah disatukan di atas jalan ini. Ia akan melahirkan suatu ikatan baru dan saling berkasih sayang antara satu dengan yang lain.

Carilah saluran yang halal, dengan jalan perkahwinan dapat menjamin kesejahteraan masyarakat, menyebarkan kebaikan, penjagaan akhlak serta pengekalan keturunan manusia.
"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, ALLah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana ALlah amat luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui".
(An Nur : 32)

* Penulis adalah Ustaz Mohd Zul bin Roslan. Beliau merupakan salah seorang moderator agama iLuvislam.com.

Saturday, March 27, 2010

~Festival Nasyid Kebangsaan Tahun 1431H/2010M~

Festival Nasyid Kebangsaan Tahun 1431H/2010M

Sukacitanya dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan Festival Nasyid Kebangsaan Tahun 1431H/2010M pada ketetapan seperti berikut :

Tarikh : 29 Oktober 2010 (Jumaat)/

21 Zulkaedah 1431H

Tempat : Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Sehubungan dengan itu, anda semua adalah dijemput untuk hadir.

Sekian, harap maklum.

~Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1431H/2010M~

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1431H/2010M

Sukacitanya dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1431H/2010M pada ketetapan seperti berikut :

Tarikh : 29 Jun 2010 sehingga 3 Julai 2010 /

12 sehingga 20 Rejab 1431H

Tempat : Kota Kinabalu, Sabah.

Sehubungan dengan itu, anda semua adalah dijemput untuk hadir.

Sekian, harap maklum.

Tarikh : 15 Januari 2010
Sumber : Unit Perhubungan Awam JAKIM
Editor : PRO JAKIM
Hits : 1291

~Majlis Tilawah Al-Quran Peingkat Antarabangsa Tahun 1431H/2010M~

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1431H/2010M

Sukacitanya dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1431H/2010M pada ketetapan seperti berikut :

Tarikh : 27 Julai 2010 sehingga 3 Ogos 2010 /

15 sehingga 22 Syaaban 1431H

Tempat : Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Sehubungan dengan itu, anda semua adalah dijemput untuk hadir.

Sekian, harap maklum

Tarikh : 15 Januari 2010
Sumber : Unit Perhubungan Awam JAKIM
Editor : PRO JAKIM
Hits : 976

Malaikat Rahmat hibur hati orang beriman ketika sakaratulmaut

MEREKA yang dipermudahkan dan senang ketika menghadapi nazak ialah mereka yang beriman dan beramal kebajikan secara ikhlas. Allah mengutus berpuluh-puluh Malaikat Rahmat untuk menghibur hatinya ketika menghembuskan nafas terakhir, berpisah meninggalkan anak isteri dan keluarganya sehingga dia menghadapi mati dengan tenang, mudah, bahagia dan gembira.

Manakala orang terbabit dosa besar dan maksiat akan menghadapi kesukaran serta keperitan bertindih-tindih ketika nazak. Firman Allah yang bermaksud: “Serta kedahsyatan mati pun bertindih-tindih.” (Surah al-Qiyamah, ayat 29)

Orang disukarkan nazak ialah yang mendustakan agama, tidak mengerjakan solat, sombong, jahat, serta bergelumang dosa demi dosa. Ketika menghadapi nazak atau sakaratulmaut, Allah memperlihatkan kepada dirinya segala dosa dilakukan, seluruh penderitaan zahir dan batin mangsa perbuatannya dikumpulkan dan ditayangkan.

Jika dia membunuh diperlihatkan perbuatan pembunuhan itu. Jika dia menzalimi orang, maka diperlihatkan kezaliman dilakukan.

Sumber: Khutbah online Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Tuesday, March 23, 2010

Tangisan Pembaca Al-Quran

Diriwayatkan dari Sa’ad bin Abi Waqas, hadith yang bermafhum; “Bacalah Al-Quran dan menangislah. Sekiranya tidak dapat menangis, maka buat-buatlah menangis (paksa menangis)."

Menangis yang dimaksudkan di sini ialah tangisan yang tercetus dari penghayatan kerana memahami ayat-ayat Al-Quran. Jika kita benar-benar memahami isi kandungan Kitabullah ini, kita dikhabarkan dengan azab dan ancaman Allah Ta’ala ke atas segenap manusia yang mengingkari akan syar’iat, jiwa-jiwa yang enggan untuk mematuhi suruhan dan larangan Tuhan.

Kita akan sedar betapa lemahnya kita dalam melunaskan janji-janji kita terhadap Allah Azzawajalla. Jika pembaca Al-Quran itu tidak dapat menangis, maka berusahalah sedaya mampu untuk mengalirkan air mata. Demi mengelakkan sebesar-besar musibah ke atas dirinya, iaitu kegagalan untuk menghayati firman Tuhan.

Untuk menampung kesukaran dalam memahami ayat-ayat Allah Ta’ala, amatlah digalakkan bagi kita untuk mengalunkan bacaan Al-Quran dan mentadabbur ayat-ayat tersebut. Jangan sekali-kali lupa untuk merujuk terjemahannya.

Yusuf Al-Qardhawi menyatakan bahawa kesan dari membaca Al-Furqan bakal membentuk dua sifat sahaja, sama ada sifat orang kafir atau orang yang beriman. Karakteristik orang kafir telah dinyatakan di dalam ayat 5, surah Fussilat yang membawa maksud; “Dan mereka berkata, ‘Hati kami sudah tertutup dari apa yang engkau seru kami kepada-Nya, dan telinga kami sudah tersumbat, dan di antara kami dan engkau ada dinding, kerana itu lakukanlah (sesuai kehendakmu), sesungguhnya kami akan melakukan (sesuai kehendak kami).”

Di dalam ayat ini, ’al-kinnah’ ditafsirkan sebagai kunci yang menghalang seseorang untuk memahami Al-Quran. Contohnya, tidak berusaha untuk memahami dan mengambil iktibar dari ayat-ayat Allah Ta’ala. Manakala ‘waqrun’ didefinisikan sebagai penyumbat yang menghalang telinga dari mendengar Al-Quran dan ‘hijab’ pula suatu yang menghalang pandangan dari memahami intipati Al-Furqan.

Pembaca Al-Quran perlulah cuba sedaya upaya untuk memahami kalam Allah Ta’ala agar tergolong dalam kelompok orang-orang yang beriman. Inilah yang telah dinyatakan di dalam ayat 53, surah Al-Qasas, maksudnya; “Dan apabila (Al-Quran) dibacakan kepada mereka, mereka berkata ‘Kami beriman kepadanya, sesungguhnya (Al-Quran) itu adalah suatu kebenaran dari Tuhan kami. Sungguh, sebelumnya kami adalah Muslim.”

Ayat 2, surah Al-Anfaal pula mengkhabarkan bahawa orang yang beriman apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran kepadanya, akan bertambahlah iman mereka. Juga mereka merasa gementar apabila disebut nama Allah Ta’ala!

Menurut Asma’ bin Abu Bakar, para sahabat Rasulullah Solallahu ‘alaihi wassalam apabila mendengar bacaan Al-Quran, bergenanglah air mata serta dan bergetarlah kulit mereka lantaran rasa ketundukan sebagai hamba Tuhan.

Syed Qutb menambah tentang sifat yang paling menyerlah di kalangan para sahabat, iaitu menerima Al-Quran untuk mengamalkannya.

Abu Bakar As- Siddiq dan Umar Al-Khattab, ketika berada di sisi Rasulullah Solallahu ‘alaihi wassalam telah ditanya oleh suatu kabilah yang sedang bertengkar; siapakah yang lebih layak di kalangan kabilah itu untuk menjadi ketua. Lalu Abu Bakar menjawab si fulan, dan Umar pula menjawab si fulan. Lalu kedua-duanya bertekak dengan dengan suara yang keras sehingga turun ayat 2, surah Al-Hujuurat (larangan untuk meninggikan suara di atas suara Nabi dan untuk bersuara keras). Setelah turun ayat tersebut, kedua-dua insan agung itu mengalirkan air mata dan berbicara dengan lemah-lembut apabila berhadapan dengan Nabi.

Ayuh renung sekilas kisah tentang sikap Imam Hassan Al-Banna yang asyik mendampingi Al-Quran. Abdul Rahman As-Saati (ayahnya) menceritakan bahawa di rumahnya hanya Allah Ta’ala yang menjadi saksi bahawa Al-Banna tidak pernah melepaskan mushafnya, membaca Al-Quran dan juga berzikir.

Lazimnya, Al-Banna akan memperdengarkan bacaannya kepada Al-Hafiz dari kalangan mereka. Jika tiada Al-Hafiz di situ kecuali dari kalangan kanak-kanak, dia tetap akan menyemak bacaannya dengan kanak-kanak itu. Sujudnya juga larut dalam keimanan. Apabila Al-Banna tahu bagaimana cara Rasulullah Solallahu ‘alaihi wassalam mengaji, dia akan mengikut cara tersebut. Kadangkala Al-Banna membaca Al-Quran dengan penuh kegentaran, dan adakalanya gembira hingga terbawa-bawa di luar tilawahnya(apabila membaca khabar-khabar gembira yang diwahyukan oleh Allah Ta’ala).

Dikisahkan bahawa seorang anak murid Hassan Al-Basri di Basrah tidak datang ke majlis ilmunya, lalu beliau bertemu dengannya untuk bertanyakan sebabnya. Anak muridnya menjawab; semasa dia sedang membaca Al-Quran, dia terjumpa ayat 11, surah As-Sajjadah. Kerana terlalu takut dengan apa yang diberitakan oleh Allah Ta’ala, sehari suntuk dia menggeletar kerana memikirkan bagaimanakah nasibnya apabila berdepan dengan malaikat maut satu hari kelak.

Dua lagi ayat yang benar-benar menjentik sikap beraninya ialah ayat 100, surah Al-Mu’minun dan ayat 41, surah Al-Qaff. Ayuh kita sama-sama membaca ketiga-tiga ayat ini.

Bagaimana pula dengan perasaan kita?


Monday, February 1, 2010

~.:Rahsia Sujud : Perkembangan Otak:.~

Persatuan Islam Kebangsaan Malaysia (MICNA) Jordan mengenal pasti sesiapa yang tidak menunaikan sembahyang maka otaknya tidak dapat menerima darah secukupnya untuk berfungsi secara sempurna.

Jurucakap MICNA Jordan berkata, ini bererti darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan ketika seseorang itu sujud ketika solat.


Di dalam Majalah Buletin Bulanan MICNA, jurucakap persatuan ini membuat kenyataan bahawa;

"Darah akan memasuki bahagian urat tersebut mengikut kadar solat yang telah diwajibkan oleh Islam".

Ini diakui sendiri oleh seorang doktor neurologi di Amerika Syarikat yang telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban di dalam penyelidikannya itu. Doktor tersebut mendapati dalam kajiannya urat pada saraf manusia memerlukan darah untuk beberapa sukatan tertentu sahaja.

Doktor neurologi tersebut tertarik untuk memeluk Islam semasa membuat kajian saraf yang dilakukan, iaitu terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia tidak dimasuki darah walaupun sepatutnya setiap inci otak manusia memerlukan darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal.

Kini doktor tersebut memeluk Islam dan beliau telah membuka sebuah klinik yang bertemakan "Perubatan melalui- Al-Quran". Beliau juga membuat ubat-ubatan berdasarkan kajian melalui Al-Quran dan Hadis Nabawi. Di antara kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black Seed).

Manusia yang tidak bersembahyang apatah lagi yang bukan Islam, walaupun akal mereka berfungsi secara normal tetapi sebenarnya mereka akan hilang pertimbangan apabila membuat keputusan secara normal.

Justeru itu, tidak hairan ada di antara manusia kadang-kadang tidak segan silu untuk melakukan perkara bertentangan dengan fitrah kejadiannya walaupun akal mereka mengetahui perkara yang akan dilakukan adalah salah.

"Ini kerana otak mereka tidak boleh mempertimbangkannya secara normal"