Showing posts with label utusan online. Show all posts
Showing posts with label utusan online. Show all posts

Thursday, April 29, 2010

TLDM terus gah menjangkau usia 76 tahun

TUN Abdul Razak sedang memeriksa perbarisan pegawai-pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia dalam upacara perbarisan kehormatan sempena hari ulang tahun TLDM pada 1975.

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan ketumbukan yang penting dalam cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sepintas lalu sejarah TLDM diwarnai oleh pelbagai peristiwa, baik yang manis mahupun pahit.

Apa yang nyata usia TLDM pada 27 April 2010 sudah 76 tahun. Walaupun satu usia yang agak muda dalam sejarah ketenteraan maritim global, TLDM telah berjaya mengharungi segala-galanya dan hari ini ia mula dikenali sebagai sebuah angkatan laut yang berwibawa.

Selaras dengan usianya itu juga, TLDM terus gah meredah bahtera untuk menjadi sebuah angkatan maritim yang terkenal dan hebat di seluruh pelosok dunia.

Itulah matlamat dan harapan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dalam memastikan TLDM berkembang mengikut arus perubahan zaman dan menjadi kuasa maritim utama dalam menjaga keselamatan dan keamanan perairan negara.

Latar belakang

Sejarah awal TLDM bermula apabila pihak British pada tahun 1934 telah menubuhkan apa yang dipanggil sebagai SSNVR (The Straits Settlement Naval Volunteer Reserve) atau Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat yang beroperasi di Singapura.

Menjelang tahun 1939, apabila menghidu perkembangan peperangan di Eropah yang bakal melarat ke Asia Tenggara, pihak British telah menubuhkan satu seksyen khusus merekrut anggota-anggota anak Melayu bagi memperkukuhkan lagi pasukan simpanan itu.

Apabila Jepun menakluk Malaya, sebahagian daripada anggota-anggota pasukan laut itu berkhidmat pula dengan tentera laut British.

Selesai Perang Dunia Kedua, akibat tanggungan kewangan yang berat serta kekurangan dana, pihak London telah mengambil keputusan untuk membubarkan Tentera Laut Seksyen Melayu pada April 1947.

Walaupun demikian, akibat daripada bahana darurat yang diisytiharkan pada Julai 1948, ancaman keselamatan yang perlu ditangani di kawasan pesisir pantai memerlukan sebuah entiti keselamatan khusus.

Akibat langsung daripada ancaman itu, pihak British mengambil keputusan untuk menubuhkan semula sebuah angkatan laut dengan nama Malayan Naval Force (MNF) pada Disember 1948.

Pada 1953, Ratu Elizebeth II telah berkenan memberikan gelaran 'Diraja' kepada MNF dan nama-nama kapalnya turut diberikan nama kapal diraja.

Selepas merdeka, mulai Julai 1958, Tentera Laut Diraja Malaya telah diserahkan kepada Kerajaan Pusat Malaya dan diikuti pada 1963 apabila nama 'Malaya' ditukarkan pula kepada versi negara baru iaitu Malaysia, seterusnya menobatkan nama TLDM sehingga kini.

Hari ini, TLDM mempunyai pangkalan utamanya atau Markas Armada di Lumut, Perak, manakala sebuah lagi pangkalan utama ialah di Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang.

Bagi Sabah dan Sarawak, markas utama TLDM adalah di Labuan dan Sandakan, Sabah serta di Lubuk Antu, Sarawak.

Sebuah lagi pangkalan utama yang dianggap bakal memainkan peranan kritikal kepada TLDM ialah Pangkalan Teluk Sepanggar berhampiran Kota Kinabalu.

Ia bakal menjadi pangkalan kepada dua kapal selam pertama milik negara iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak.

Kepimpinan terkini dan hala tuju TLDM

Anjakan TLDM boleh dianggap bermula apabila negara berada di bawah tampuk kepimpinan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak apabila beliau mengumumkan satu peruntukan dana yang agak besar kepada TLDM sewaktu mengumumkan pelan Rancangan Malaysia Ketiga pada awal tahun 70-an.

Selain itu, beliau juga pendorong kepada pembinaan sebuah pangkalan angkatan laut di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, TLDM juga dianggap bertuah kerana memiliki kepimpinan tertinggi anak watan pertama yang menggantikan pegawai-pegawai British iaitu Laksamana Muda (B) Tan Sri K. Thanabalasingam yang berkebolehan dalam memastikan TLDM terus membangun menjadi sebuah angkatan laut bertaraf dunia.

Hari ini kepimpinan TLDM di bawah Abdul Aziz telah memperkasakan lagi pelan pelaksanaan pemodenan organisasi tersebut.

Apa yang diluahkan oleh Abdul Aziz dalam era kepimpinan beliau sebenarnya telahpun diserlahkan melalui perutusan ulung beliau pada April tahun lalu.

Panglima Tentera Laut itu telah menyeru kepada semua warga TLDM supaya mempamerkan hasil kerja berkualiti dengan memberi fokus kepada enam strategi untuk menjadikan TLDM sebuah organisasi yang lebih disegani dan berkualiti.

Enam strategi yang terkandung dalam Pelan TLDM 2010 atau The Navy Plan 2010 seperti berikut:

  • Kesiagaan Aset TLDM
  • Memperkasakan Kesediaan Sumber
  • Menambah Baik Pengurusan Modal Insan
  • Menambah Baik Pengurusan Rangkaian Bekalan
  • Meningkatkan Pengurusan Selenggaraan
  • Membangunkan Modal Insan.
  • Pelan TLDM dirumus dan dibangunkan berasaskan metodologi kad skor terimbang atau Balanced Score Card (BSC) yang telah diguna pakai oleh TLDM sejak 2003 lagi.

    Pelaksanaan pelan itu akan membolehkan TLDM mengukur sejauh mana pencapaian prestasi organisasi dan individu melalui petunjuk prestasi utama (KPI) dengan menggunakan BSC.

    Jika diteliti kehendak dan visi yang digariskan oleh Abdul Aziz dalam keenam-enam strategi itu, maka jelas sekali apa yang mahu beliau nyatakan adalah tentang perlunya satu anjakan pemikiran dan perlakuan setiap warga TLDM sekiranya organisasi tersebut mahu menjadi sebuah angkatan laut pertama negara.

    Dalam semua strategi yang digariskan beliau, ia secara langsung melibatkan peningkatan dan kejutan kesedaran kepada semua pihak untuk melihat diri sendiri, menilai kemampuan serta jati diri sebagai seorang warga TLDM.

    Abdul Aziz juga mahu setiap warga TLDM mencari nilai-nilai positif dan digilapkan supaya ia semakin menyerlah dan meninggalkan budaya atau perlakuan buruk, keji yang akan memusnahkan kredibiliti TLDM sebagai sebuah angkatan laut yang disegani.

    Sehubungan itu, seluruh warga TLDM seharusnya sudah dapat menilai strategi yang telah ditetapkan oleh Abdul Aziz dan menilai apakah ia relevan dengan keadaan aset, sistem dan warga TLDM hari ini.

    Menjadi sebuah angkatan laut global

    Dari segi unjuran kuasa dan kemampuan melaksanakannya secara hakiki, sememangnya sebagai sebuah negara yang kecil dan mempunyai aset serta platform tentera laut yang terhad, ia agak sukar untuk dilaksanakan.

    Walaupun demikian, tidak bermakna TLDM tidak mampu mencapai tahap sebuah angkatan laut global yang disegani dan berkemampuan melaksanakan misi-misi khusus bagi melindungi kepentingan laluan strategik atau memberikan perlindungan pada kapal-kapal komersial dan berkepentingan milik negara.

    Pembangunan dan kemampuan TLDM pada tahun ini semestinya akan mengalami satu lagi lonjakan apabila kapal selam pertama miliknya, iaitu KD Tunku Abdul Rahman telah selamat tiba dan kini berada di perairan negara.

    Kapal kedua, KD Tun Abdul Razak dijangka diserahkan kepada TLDM pada penghujung tahun ini.

    Paling utama ialah kemampuan kedua-dua kapal selam itu untuk membawa torpedo terkini, iaitu dari jenis Black Shark atau IF21 yang merupakan torpedo kelas berat dibangunkan oleh firma DCN dan Whitehead Alenia Sistemi Subacquei (WASS).

    Peningkatan pemilikan dan penggunaan kapal selam turut mendorong TLDM untuk meletakkan perolehan sistem pesawat helikopter anti kapal selam (ASW) sebagai antara keperluan yang akan diperolehi dalam masa terdekat.

    Bagi Abdul Aziz, walaupun kemampuan TLDM dalam menghadapi ancaman keganasan maritim seperti yang berlaku di Teluk Aden telah terbukti, hakikat yang mesti diterima adalah ancaman keselamatan maritim yang paling utama hari ini adalah pertikaian kawasan persempadanan.

    Antara kawasan-kawasan yang dianggap sebagai panas adalah perebutan kawasan kepulauan Spratly di Laut China Selatan serta kepulauan Ambalat di Laut Sulawesi.

    Bagi meredakan keadaan dan tidak mengundang sebarang provokasi yang mampu mengakibatkan tercetusnya konflik, TLDM telah menjalin kerjasama yang erat dengan tentera laut negara-negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

    Selain daripada mengelakkan konflik, latihan atau rondaan bersama diadakan bagi membina hubungan dua hala yang berasaskan kepercayaan dan persahabatan antara angkatan laut serantau.

    Kejayaan TLDM

    TLDM telah mengecapi pelbagai kejayaan sepanjang tahun lalu yang membuktikan TLDM sentiasa memastikan organisasi itu akan terus melahirkan modal insan yang berkualiti dalam pelbagai aspek.

    Antara kecemerlangan TLDM adalah dalam pelaksanaan operasi maritim di dalam dan luar negara, pelancaran Lumut, Perak sebagai Bandar Tentera Laut dan kepulangan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman.

    TLDM juga cemerlang dalam penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2009 (LIMA 09), pentauliahan kapal-kapal dan unit-unit TLDM serta projek civil-military cooperation seperti pengoperasian Kapal Auxiliary Bunga Mas 5 di Teluk Aden, Eskpedisi Pelayaran Saintifik Perdana (EPSP) dan Penubuhan Pusat Sumber Maritim dan Sejarah TLDM.

    Bidang Sukan

    Dalam bidang sukan pula, TLDM telah menjadi juara bertahan dua tahun berturut-turut dalam Sukan Antara Perkhidmatan ATM dan lebih membanggakan seramai 46 atletnya terlibat dalam sembilan acara di Sukan Sea Laos pada tahun lalu dan telah menyumbangkan lima emas, sembilan perak dan 17 gangsa.

    Kejayaan terbaru tahun ini, melalui penembak negara, Nur Suryani Mohd. Taibi daripada TLDM yang mencatat sejarah apabila meraih pingat perak dalam acara 10 meter Air Rifle wanita pada Kejohanan Menembak Piala Dunia yang berlangsung di Sydney, Australia baru-baru ini.

    Kemenangan itu menjadikan Nur Suryani, 27, sebagai penembak pertama negara yang berjaya memperoleh pingat pada Piala Dunia.

    Harapan

    Dengan usia 76 tahun, TLDM di bawah Abdul Aziz diharap terus berusaha bukan sahaja menjadi ketumbukan penting dalam ATM malah sebagai organisasi cemerlang yang menyokong aspirasi negara menjayakan 1Malaysia.

    TLDM juga diharap bukan sahaja gah meredah bahtera dalam menjaga keselamatan perairan negara malah sentiasa mempertingkatkan keupayaan organisasi untuk menjadi kuasa maritim negara yang mampu berdaya saing dengan kuasa maritim asing.

    Selaras dengan hasrat itu, TLDM perlu membentuk pasukan yang mantap, pengurusan berkualiti dan penambahan aset semasa serta memastikan setiap anggotanya terlatih dan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa juga spektrum ancaman.


    P/S : miss all my ank buah navy....

    Friday, April 2, 2010

    Jangan perkecil khasiat telur

    TELUR pernah dianggap sumber makanan tidak menyihatkan. Bagi individu yang mengamalkan diet tinggi protein, telur sememangnya menjadi kegemaran. Tetapi tidak bagi mereka yang mengikuti diet rejim rendah lemak dan yang berhati-hati tentang paras kolesterol dalam badan.

    Berbanding dengan kepercayaan tersebut, hakikatnya telur kaya dengan sumber nutrisi semulajadi. Kajian terbaru menunjukkan pengambilan telur secara kerap seiring dengan diet yang sihat dan rendah lemah tidak akan memberi kesan negatif kepada LDL-kolesterol atau menyebabkan risiko penyakit jantung.

    Selain harga yang murah, mudah diperoleh dan rasanya yang enak, telur diakui padat dengan nutrisi yang diperlukan oleh badan.

    Terdapat beberapa sebab pakar-pakar berpandangan bahawa manfaat telur adalah lebih banyak berbanding kandungan kolesterolnya.

    Telur kaya dengan vitamin dan mineral. Sebutir telur bersaiz besar mengandungi 251 miligram choline - lebih separuh daripada yang diperlukan oleh wanita setiap hari.

    Choline merupakan satu nutrisi penting terutamanya untuk wanita hamil kerana peranannya dalam pembentukan otak janin sehingga terbentuk menjadi bayi malah memberi kesan kepada memori selepas bayi dilahirkan.

    Telur juga kaya sumber yang kaya dengan vitamin K. Sebutir telur mengandungi 25 mikrogram iaitu kira-kira satu pertiga daripada keperluan wanita setiap hari. Vitamin K adalah nutrisi penting untuk membekukan darah.

    ICCI Pusat Komuniti Islam

    ICCI Dublin yang menjadi tumpuan umat Islam beribadat dan menjalankan kegiatan sosial.

    Oleh JUFITRI JOHA

    SETELAH dua kali bertukar bas dan melintasi kota Dublin yang penuh dengan kesibukan aktiviti harian dan jual beli, akhirnya saya bersama saudara Adi Rahman, Pengerusi Grup Penjejak Tamadun Eropah (GPTD-E) sampai ke kawasan Jalan Clonskeagh, Dublin 14.

    Di pinggir Kota Dublin ini tersergam gah sebuah masjid terbesar di Republik Ireland yang juga merupakan Pusat Kebudayaan Islam Ireland (ICCI).

    Memasuki pintu utama ICCI membuat perasaan dan hati bertambah gembira apabila masjid ini amat sibuk dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan keduniaan yang turut menggambarkan betapa hidupnya fizikal dan rohani masjid ini walaupun hari tersebut merupakan hari Sabtu iaitu hari cuti.

    Pertemuan singkat bersama Setiausaha kepada Imam Masjid, Ali Salim merupakan satu detik yang amat penting kerana ia menambahkan lagi koleksi jaringan umat yang harus diterokai dan disambung oleh generasi muda seperti kami.

    Akibat kesibukan melayan tetamu yang hadir kami tidak berkesempatan bertemu dengan Setiausaha Majlis Fatwa dan Kajian Eropah (ECFR) iaitu Sheikh Hussein Mohammed Halawa.

    Inilah kehebatan ICCI apabila turut menempatkan pejabat rasmi ECFR yang bertujuan secara umumnya untuk mengumpulkan cendekiawan dan ulama Islam terutamanya yang menetap di Eropah. Juga mengeluarkan fatwa semasa yang menjawab segala persoalan umat Islam di Eropah; menghasilkan penerbitan berkaitan kajian undang-undang dan fatwa Islam; dan memberikan panduan kepada individu yang bekerja untuk Islam khususnya untuk menyebarkan konsep Islam sebenar dan fatwa.

    Lebih menarik dan hebat, ECFR ini dipengerusikan oleh ulama tersohor dunia Islam yang menjadi penerima anugerah Maal Hijrah 1431 H Kerajaan Malaysia baru-baru ini, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dan dibantu oleh Sheikh Faisal Mawlawi.

    ECFR yang diilhamkan penubuhannya pada 1997 di London turut dibarisi oleh pemuka-pemuka ilmuwan Islam seperti Sheikh Abdul Raheem al-Taweel (Sepanyol), Sheikh al-Arabi al-Bichri (Perancis), Sheikh Dr. Mustafa Ceric (Bosnia), Sheikh Rashid al-Ghanoushi (UK), Sheikh Mahboubul Rahman (Norway) serta 29 lagi barisan cendekiawan yang mewakili pelbagai negara.

    Lebih signifikan, ICCI bukan sahaja menjadi tempat ibadat khusus semata-mata malah ia juga merupakan tempat ibadat umum dengan pelbagai fungsi dan aktiviti.

    ICCI juga mempunyai pejabat pentadbirannya tersendiri yang tersusun, pusat kebajikan komuniti, pusat dakwah, pusat kecemerlangan pendidikan, perpustakaan dan kutub khanah, pusat wanita dan belia. Oleh kerana itu saya menggelarkan ICCI ini sebagai pusat komuniti umat.

    Kehadiran ICCI juga seharusnya memainkan peranan lebih besar dengan menjadi pusat mendidik umat Islam Ireland untuk menangani cabaran yang amat penting seperti disebutkan oleh Tariq Modood, Profesor Sosiologi, Politik dan Dasar Awam di Universiti Bristol iaitu isu kepelbagaian budaya yang mana umat Islam harus bijak untuk berintegrasi dan berpartisipasi sebagai penduduk dan rakyat dalam komuniti Eropah.

    Usaha ini penting bagi menggambarkan umat Islam juga mempunyai hak dan peranan sebagai rakyat Eropah bukan sekadar berdiam diri dan reda atas apa sahaja yang diperlakukan oleh pihak pemerintah di Eropah dan Ireland khususnya.

    Umat Islam Ireland dibentuk oleh komuniti pelbagai budaya merangkumi mereka yang berasal dari Pakistan, Malaysia, Somalia, Afrika Selatan, Nigeria, Algeria, Libya, Bosnia, dan Ireland sendiri.

    Kedatangan umat Islam ke Ireland bermula sejak 1950-an iaitu para pelajar yang akhirnya berkahwin dengan penduduk setempat dan menetap di sana. Pertubuhan Islam pertama di Ireland adalah Pertubuhan Islam Dublin yang ditubuhkan tahun 1959 sehinggalah kejayaan umat Islam membeli satu hektar tanah yang dibiayai oleh Timbalan Pemerintah Dubai, Sheikh Hamdan al-Maktoum yang membawa kepada pembinaan ICCI.

    ICCI kemudiannya dibuka secara rasmi dan bersejarah oleh Presiden Ireland pada ketika itu, Mary Robinson dan Sheikh Hamdan al-Maktoum pada 14 November 1996.

    Sheikh Hamdan al-Maktoum juga dalam masa yang sama bermurah hati membiayai seterusnya kos pentadbiran, operasi dan penyelenggaraan ICCI. ICCI dibina oleh arkitek tempatan Ireland, Michael Collins & Associates yang kemudiannya mereka memenangi anugerah dari Institut Diraja Arkitek Ireland atas rekaan dan lakaran reka bentuk ICCI.

    Setelah 14 tahun kemunculan ICCI di persada dakwah Eropah, ia terus aktif berfungsi dengan pelbagai kemudahannya seperti kedai buku, gimnasium, dewan serbaguna, restoran dan bilik seminar. Juga perkhidmatan seperti kuliah agama, pengendalian perkahwinan dan kematian dan pusat perterjemahan.

    ICCI mengingatkan kita semula kepada Masjid Rasulullah yang dibawa atas dasar takwa dan multi-fungsi menatijahkan lahirnya gergasi-gergasi yang membuka dunia dengan cahaya keimanan. Semoga ICCI terus berperanan dalam menyebarkan mesej rahmat ke segenap pelosok Ireland dan Eropah khususnya. ICCI boleh dilayari di www.islamireland.ie.



    Thursday, April 1, 2010

    Baca al-Quran dengan bertatih-tatih dapat dua pahala

    2010/04/01

    DARIPADA Aisyah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.” (Hadis riwayat Muslim)
    Allah berfirman yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), yang tersimpan dalam kitab cukup terpelihara (Lauhul Mahfuzh), yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk diakui bersih suci; al-Quran itu diturunkan daripada Allah Tuhan sekalian alam.” (Surah al-Waaqiah: 77-80)
    Dalam kehidupan seharian seorang mukmin, pengajian al-Quran perlu dititikberatkan kerana melalui al-Quran Allah memberi petunjuk kepada hamba-Nya untuk mencapai keredaan dan keselamatan. Melalui al-Quran hamba-Nya dikeluarkan daripada kegelapan kepada cahaya yang terang.

    Oleh yang demikian Allah mengangkat dan memuliakan orang yang suka membaca al-Quran seperti mana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kalian ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi)

    Kebaikan membaca al-Quran antaranya, bagi orang yang membaca al-Quran dengan maksud untuk menghafalnya dan dilakukan dengan susah payah maka baginya dua kali pahala, iaitu pahala membaca dan pahala susah payah menghafalnya.

    Sementara orang yang membaca al-Quran dengan lisan tertatih-tatih dan berat dirasakannya (gagap) maka baginya dua pahala. Sesungguhnya orang yang membaca al-Quran dan mengamalkannya lebih besar darjatnya daripada orang yang tidak membaca al-Quran.

    Ibnu Abbas menceritakan bahawa Nabi SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya orang yang di dalam dirinya tidak ada (tidak hafal) suatu ayat al-Quran pun, keadaannya sama dengan rumah yang kosong.”

    Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

    Wednesday, March 31, 2010

    Imej yang dikeluarkan NASA menunjukkan bentuk Pac-Mac
    yang terhasil melalui imbasan suhu ke atas permukaan Mimas -AGENSI


    LONDON 30 Mac - Pesawat jelajah angkasa 'Cassini' yang mengorbit Zuhal berjaya mengambil gambar terbaru bulan planet tersebut, Mimas, dengan pemandangan yang menarik.

    Penelitian mendapati terdapat perbezaan suhu di seluruh permukaan objek angkasa itu, menghasilkan peta menyerupai ikon permainan video popular 1980-an, Pac-Man.

    Saintis masih belum pasti mengapa Mimas memaparkan variasi sedemikian namun berkata, ia mungkin ada kaitan dengan perbezaan tekstur bahan permukaannya.

    Menurut mereka, sesetengah tekstur mungkin mengekalkan haba lebih baik daripada yang lain.

    Mimas mempunyai ukur lilit sepanjang 400 kilometer dan mempunyai kawah dinamakan Kawah Herschel yang membuatkan banyak pihak membandingkannya dengan 'Death Star' dalam filem Star Wars.

    Pasukan Cassini berkata, bentuk kawah itu mungkin memainkan peranan penting dalam perubahan keadaan di permukaan.

    Cassini merupakan hasil usahasama antara Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Agensi Angkasa Lepas Eropah (Esa) dan Agensi Angkasa Lepas Itali (ASI).

    Misinya dilanjutkan tempohnya sehingga 2017. - AGENSI