Tuesday, December 15, 2009

Hadiah Dari Tuhan

HADIAH adalah sesuatu yang menjanjikan kemanisan dan keseronokan. Tambahan pula jika ia datang dari orang yang kita sayang. Ia akan menjadi lebih bermakna jika kita tidak pernah memilikinya dan sangat mendambakan hadiah itu. Tapi, jika hadiah yang kite peroleh itu ialah sesuatu yang kita pernah atau telah miliki tentu sahaja kita tidak akan menghargainya, atau jika kita menghargainya sekali pun mungkin tidak akan lama.

Kemanisan mendapat sesuatu yang memang kita dambakan ialah suatu kemanisan yang akan menjanjikan satu rasa kebahagian dan keseronokan yang tidak mungkin dapat digambarkan. Dan jika hadiah itu rosak atau hilang, kita akan merasakan satu kehilangan yang teramat sangat.

Islam yang terpahat di dalam dada kita merupakan hadiah yang paling berharga dan sangat di dambakan oleh sesiapa sahaja walaupun mungkin kita dan ramai lagi di luar sana tidak menyedarinya.

Bagi kita yang sudah dilahirkan sebagai muslim, mungkin ada yang tidak memahami betapa manisnya mengecap nikmat Islam, tapi bagi mereka yang bukan Muslim dan kemudiannya mendapat hidayah untuk memeluk Islam, nikmat Islam itu seumpama setitis air yang sangat didambakan setelah lama kehausan, sebagai seberkas cahaya telah lama kegelapan.

Ya, kita faham Islam itu yang satu-satunya agama diredhai, tetapi berapa ramai muslim yang hanya pada namanya? Berapa ramai pula yang tidak memikul tugas dan menjadi seperti yang disyahadahkan? Berapa ramai pula saudara baru yang memiliki fahaman dan pengetahuan mengenai Islam lebih baik dari kita?

Ini kerana mereka faham dan tahu betapa manisnya hadiah dari TUHAN, betapa manisnya menjadi manusia yang terpilih untuk mendapat rahmah dan hidayah-Nya. Jadi mereka menjaga hadiah itu lebih baik dan ingin pula dikongsi kemanisan itu dengan mereka yang sudah dan belum pernah atau dapat merasakan kemanisanyang mereka rasai.

Manusia itu pelupa sifatnya. Jadi, jika mereka sudah mendapat atau diberi sesuatu itu sejak lahir lagi, mungkin mereka tidak faham nikmat hadiah itu. Jadi, tinggallah mereka terus menjadi orang-orang yang pelupa.

Janganlah kita menjadi orang yang pelupa, kerana sekali kita terlupa dan biasakan diri untuk terus lupa, takut-takut kita akan terus tidak pernah ingat betapa indahnya dan manisnya 'hadiah' yang kita perolehnya dengan mudah berbanding mereka yang terpaksa membelinya dengan darah, keringat dan air mata.

~iluvislam.com~

No comments:

Post a Comment